Sirih Junjung
Adat masyarakat Melayu, sirih junjung adalah perkara wajib dibawa ketika proses merisik dan meminang. Ia diibaratkan sebagai `penghulu’ kepada segala hantaran.
Zaman dulu, sirih junjung disediakan oleh pihak lelaki dan tepak sirih dilengkapi gambir, pinang dan kapur pula pihak perempuan. Fungsinya sebagai `pembasah mulut’ ataupun sebagai pembuka bicara.
Makna tersirat:
- Sirih: Diertikan sifat rendah diri dan sentiasa memuliakan orang lain.
- Kapur: Melambangkan hati seseorang yang putih bersih serta tulus, tetapi dalam keadaan tertentu yang memaksa ia akan berubah lebih agresif dan marah.
- Gambir: Sifatnya yang kelat kepahit-pahitan memberikan erti kecekalan hati.
- Pinang: Digambarkan sebagai lambang keturunan orang yang baik budi pekerti, tinggi darjatnya serta jujur.
- Tembakau: Melambangkan seseorang yang berhati tabah dan sedia berkorban dalam segala hal.
Zaman dulu, pihak keluarga penerima akan mengagihkan kepada saudara-mara helaian daun sirih daripada sirih junjung apabila selesai majlis. Lazimnya, sirih diberi kepada anak gadis untuk diambil berkatnya supaya segera bertemu jodoh.
Untuk menghasilkan sirih junjung, daun sirih yang segar dan tidak rosak rupa fizikalnya dipilih. Saiz yang dipilih juga pelbagai.
Menurut kepercayaan dan petua orang tua dulu, sesiapa yang sukar bertemu jodoh disyorkan mengunyah sehelai daun daripada sirih junjung hantaran majlis perkahwinan atau pertunangan supaya keberkatan itu turut terkena tempias kepadanya.
Bagaimanapun, ia sekadar kepercayaan atau mitos kerana semua berlaku, termasuklah soal jodoh adalah ketentuan Allah SWT.
Biarpun begitu, budaya itu masih lagi tersemat di kalangan segelintir masyarakat Melayu terutama orang tua dan ironinya, sehingga sekarang masih ada yang melakukannya atas tujuan suka-suka saja.
Sambung Baca: http://www.eserikasih.com/fakta-tentang-sirih-junjung#ixzz2uGMa13h2
No comments:
Post a Comment